BERFIKIR SEPERTI SEORANG JUARA

Assalammualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

Perkongsian  kali ini merupakan  kisah seorang usahawan terkemuka iaitu Donald J. Trump. Beliau juga merupakan presiden Amerika Syarikat!

Donald J. Trumpt terkenal dalam bidang hartanah. Ramai individu mahu menjadi kaya, berjaya dan ternama seperti beliau. Rahsia kejayaan beliau mudah iaitu sentiasa berfikir mahukan yang terbaik.

Kisah ini dipetik dari buku “Think Like A Champion” yang mengupas mengenai falsafah beliau berkenaan cara berfikir dan menikmati kehidupan bertaraf juara baik secara professional mahupun peribadi.

Pilihan terbaik untuk setiap individu adalah mencapai kejayaan setinggi mungkin yang mampu dicapainya.

-ARISTOTLE-

Ada juara yang dilahirkandan ada juga yang dihasilkan. Juara adalah seseorang yang mempamerkan keunggulan dirinya. Itu adalah satu daripada definisi juara. Manakala, definisi lain pula mentakrifkan seseorang yang memenangi hadiah pertama ataupun mendapat tempat pertama dalam sebuah pertandingan.

Kita semua tentu pernah mendengar perihal juara Olimpik, malah kita juga mungkin pernah menyaksikan sebahagian daripada mereka beraksi di kaca televisyen. Apabila melihat kemampuan mereka yang menakjubkan itu, apa yang terlintas dalam fikiran saya ialah adalah jumlah latihan yang mereka jalani, pengorbanan yang mereka curahkan, serta keberanian yang mereka miliki demi membolehkan mereka berdiri di tempat mereka berada sekarang. Namun, itu hanya sebahagian daripada beberapa ciri seorang juara.

Selain daripada beberapa ciri itu, mereka juga memiliki kemahuan bagi mengecapi sesuatu yang istimewa. Pada mereka yang memiliki pemikiran sperti juara, pencapaian yang biasa-biasa ataupu pada tahap sederhana tidak memadai. Para juara berfikiran besar. Mereka juga bekerja keras, fokus dan berdisiplin. Para juara berfikir seperti juara. Sebagaimana yang dikatakan oleh Jack Dempsey, “Juara adalah seseorang yang mampu bangkit ketika dia tidak lagi berdaya.” Mudah-mudahan ini berlaku kepada kita.

Apabila berhadapan dengan hari-hari yang sukar, saya sering menganggapnya sama seperti sebuah perlumbaan, dan saya perlu memiliki daya tahan yang tinggibagi mengharunginya. Kadangkala, daya tahan itu muncul dengan sendiri kerana saya tidak mahu hari itu berakhir dengan kekalahan. Billie Jean King, lagenda tenis Amerika pernah berkata, “Seorang juara perlu berani memikul tanggungjawab. Apabila bola melepasi jaring, pastikan kita mahu menyambut bola itu.” Saya memahami pada apa yang beliau katakan, kerana saya juga seperti itu.

Pada setiap tahun, saya menempah tempat duduk khas di Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat kerana saya suka menyaksikan para juara bertarung. Tidak kira sama ada kita meminati bidang sukan, seni, atau apa sahaja, banyak perkara dapat kita pelajari apabila menyaksikan mereka yang hebat ini beraksi. Mereka semua mempunyai satu persamaan, iaitu pemikiran yang sama. Mereka mahu menang dan mahu menjadi yang terbaik. Pada mereka, tidak ada istilah tempat kedua, melainkan budaya individu yang terbaik.

Ini adalah suatu perkara yang penting untuk dipertimbangkan. Saya melihat ramai orang yang berbakat mengalami kegagalan, kerana saya berasa mereka takut untuk menang. Untuk menang, kita perlu berani memikul tanggungjawab. Dan, tanggungjawab itu semakin meningkat apabila kita mahu menjadi juara. Periksa diri kita dengan teliti sama ada kita sudah bersedia dan mampu memikul tanggungjawab itu ataupun tidak. Sekiranya tidak, lakukan sesuatu berkenaannya. Ini adalah elemen penting dalam sesebuah kejayaan.

Ramai orang tahu saya adalah pemain golf. Saya selalu berkata, golf adalah permainan minda. Memang benar, tetapi golf juga adalah sejenis sukan yang mencabar daripada segi teknikal dan memerlukan kemahiran. Kita tidak boleh bermain golf dengan hanya separuh hati, dan berharap dapat mencapai sesuatu daripada permianan kita. Kita perlu menumpukan perhatian dan perlu mempunyai kesabaran.

Sebagaimana yang dikatakan oleh pemain golf lagenda, Bobby Jones menyatakan, “Golf itu dimainkan secara satu pukulan demi satu pukulan pada satu-satu masa, bukan sesuatu yang baru. Tetapi, bertahun-tahun lamanya masa yang diambil bagi menyedari hakikat itu.” Kita menang dalam kehidupan seharian kita dengan cara berhati-hati pada setiap hari, dan mempunyai pandangan seperti juara pada setiap masa.

Mari kita lihat petikan Aristotle pada awal esei ini. Kata-kata ini adalah tahap muhasabah diri di peringkat tertinggi. Memang benar jalan terbaik untuk kita adalah berusaha mencapai kejayaan setinggi mungkin.

Jadi, mengapa kita menetapkan matlamat yang rendah? Pernahkah kita mendengar kanak-kanak bercerita berkenaan cita-cita mereka apabila dewasa kelak? Mereka penuh dengan impian dan perancangan, dan jarang sekali mereka mempunyai aspirasi yang kurang menarik. Mereka mahu menjadi presiden, doktor, angkasawan, saintis, dan sebagainya. Mereka berada pada landasan yang tepat  dan mempunyai pemikiran yang betul.

Sekiranya perlu, bawa kembali diri kita ke zaman dimana kita mempunyai matlamat yang tinggi. Bukan semua orang dapat menajdi juara dunia dalam sesuatu perkara, tetapi kita bileh berusaha menjadikan diri kita yang terbaik. Itu adalah langkah pertama dan tanggungjawab kita pada setiap  hari.

Seorang juara begitu gigih dan kuat berusaha. Kita semua tahu bilakah masanya kita berusaha sekadar cukup makan sahaja dan bilakah masanya kita benar-benar berusaha keras. Cuba desak diri kita pada setiap hari. Usah kita gagal disebabkan tidak memberikan peluang kepada diri kita untuk bermula! Usah kita mneglak daripada kejayaan semata-mata kerana kita berasa tanggungjawab itu terlalu besar. Berikan tumpuan dan teruskan sahaja! Kita pasti terkejut apabila melihat hasilnya.

Alexander Graham Bell ada berkata sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan, “Tumpukan semua pemikiran kita pada kerja yang sedang dilakukan. Sinaran matahari tidak akan membakar sehingga sinaran itu tertumpu.” Oleh itu, berikan perhatian pada perkara-perkara ini dan kita dalam perjalanan untuk berfikir sperti juara, dan menjadi seorang juara. 

Leave a Reply